Tuesday, 4 October 2011

FORMAT PEPERIKSAAN MATEMATIK

          Semua calon UPSR akan mendapat soalan dalam dwibahasa. Anda boleh menjawab soalan tersebut mengikut bahasa yang anda kuasai dengan baik. ini penting kerana masa yang diperuntukkan amat terhad, dan anda jangan leka untuk membaca semua soalan dalam kedua-dua bahasa tersebut. Pilih bahasa yang mudah untuk difahami berkaitan dengan maksud soalannya.

Murid perlu faham dengan jelas berkaitan dengan Kertas matematik UPSR. Perkara ini sangat mustahak kerana anda perlu bersedia lebih awal dengan cara, bentuk dan kemahiran soalan untuk memberikan jawapan dengan tepat dan lengkap.

Mata pelajaran Matematik terbahagi kepada 2 kertas, iaitu Matematik Kertas 1 yang mmpunyai 40 soalan diberi empat pilihan jawapan, manakala Matematik Kertas 2 dengan 20 soalan berbentuk subjektif.


PENGENALAN KERTAS 1

Matematik Kertas 1 peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Mengandungi 40 soalan objektif aneka pilihan. Tiap-tiap soalan diikuti dengan empat pilihan jawapan, iaitu A, B, C dan D. Antaranya ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu. Calon dikehendaki memilih hanya satu jawapan yang betul. Kemudian, pada kertas jawapan hitamkan ruangan yang mempunyai huruf yang sama dengan jawapan yang dipilih itu.

2. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab kertas soalan ini ialah satu jam (60 minit). Calon dikehendaki menjawab semua soalan.

3. Calon tidak perlu menunjukkan langkah pengiraan.

4. Bagi memanfaatkan masa, calon sepatutnya pandai mebahagikan masa. Jawab soalan yang mudah dahulu diikuti dengan soalan yang lebih sukar. Sediakan juga masa untuk menyemak jawapan.


Bentuk Soalan Kertas 1

1. Kandungan soalan Matematik Kertas 1 mencakupi semua topik dalam sukatan pelajaran dengan kemahiran yang lebih tinggi daripada kemahiran asas.

2. Berdasarkan soalan lalu, bentuk soalan Kertas 1 boleh dibahagikan kepada dua, iaitu
* soalan bentuk lazim (mekanikal)
* soalan penyelesaian masalah

3. Antara 8 hingga 10 soalan yang dikemukakan dalam bentuk soalan mekanikal yang berdasarkan angka dan simbol operasi. Dalam soalan ini, calon hanya perlu membuat kiraan terus berdasarkan operasi yang ditetapkan. Sebagai contoh, 
6 785 x 89 =

4. Sekitar 30 soalan lagi dikemukakan dalam bentuk penyelesaian masalah. Soalan ini melibatkan Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Sebahagian besar soalan berbentuk penyelesaian masalah ini disertai dengan rajah , jadual, gambar rajah, jadual maklumat dan graf. Calon perlu ingat bahawa rajah, gamabar rajah, jadual maklumat dan graf itu merupakan sebahagian daripada soalan.

Berdasarkan analisis, kita dapati 5 topik yang paling popular dikemukakan dalam Kertas 1 ialah
1. Wang
2. Pecahan
3. Perpuluhan
4. Peratus
5. Ruang

Kebanyakan (75%) soalan Kertas 1 memerlukan kefahaman kepada ayat dan perkataan yang digunakan. Calon perlu memikirkan cara, langkah dan bentuk yang jelas dan boleh melihat sesuatu masalah dengan pelbagai gambaran.

Kesimpulannya, untuk menguasai Matematik Kertas 1, calon perlu mahir, faham dan boleh menguasai semua topik dalam sukatan pelajaran.

Oleh itu, pelajar dinasihatkan membuat banyak latihan secara berterusan supaya dapat melatih diri menyelesaikan pelbagai masalah Matematik dengan betul dan mudah.

Langkah itu perlu kerana Matematik tidak seperti matapelajaran lain yang boleh dipelajari menerusi pembacaan. Dengan latihan yang banyak, pelajar pastinya akan dapat mengukuhkan dan meningkatkan lagi tahap penguasaan dalam Matematik.
.


PENGENALAN KERTAS 2

Matematik Kertas 2 mengandungi 20 soalan dengan ciri-ciri seperti berikut :

1. Soalan berbentuk subjektif (Soalan diberikan dan calon perlu memberikan jawapan bertulis).

2. Jawab 20 soalan dalam masa 40 minit sahaja.

3. Langkah pengiraan sesuatu soalan perlu ditunjukkan sebelum memberikan jawapan.

4. 20 soalan yang diberi terdiri daripada 3 aras markah atau kemahirannya.

5. Kebiasaannya 5 soalan jenis 1 markah setiap satu, 10 soalan 2 markah setiap satu, dan 5 soalan lagi 3 markah setiap satu.

6. Setiap jawapan yang diberikan perlu disertakan langkah pengiraan yang jelas dan boleh diterima untuk mendapatkan jawapan.

7. Susunan soalan bermula dari soalan 1 markah, 2 markah, dan 3 markah.

Soalan Kertas Matematik 2 kerap dianggap soalan yang mudah. Bagaimanapun, anda perlu tahu, faham dan boleh meberikan jawapan dengan tepat dan betul. Ada murid beranggapan soalannya mudah, namun perlu diingatkan bahawa soalan yang dikemukakan sememangnya agak mudah tetapi langkah untuk memberikan jawapan adalah amat diperlukan.

Kesilapan yang sering dilakukan calon ialah kurang memberikan tumpuan dalam menunjukkan langkah-langkah pengiraan yang perlu dilakukan untuk memberikan jawapan yang betul. Calon biasanya menulis terus jawapan berdasarkan soalan yang dianggap mudah dan boleh diberikan jawapan dengan cepat. Perkara seperti ini biasanya menyebabkan calon gagal mendapatkan markah penuh bagi setiap soalan.


Bentuk Soalan Kertas 2

Soalan 1 markah

Kebiasaannya soalan 1 markah yang dikemukakan lebih kepada soalan aras pengetahuan yang meliputi tajuk dan kemahiran seperti berikut:

1. Nombor
- Nilai tempat atau nilai digit
- Susun angka-angka menjadi suatu nombor terbesar atau terkecil
- Menulis angka daripada perkataan atau sebaliknya
- Perbundaran kepada nilai terdekat dalam puluh, ratus, ribu atau pulh ribu.

2. Operasi yang empat
- Tambah, tolak, darab dan bahagi
- Perlu mengumpul semula
- Hasil darab nombor dengan 1 atau 2 digit
- Hasil bahagi tanpa baki atau mungkin berbaki

3. Menukar sebutan dalam
- Pecahan, peratus atau perpuluhan
- Pecahan termudah / setara

Anda perlu memberikan jawapan tepat bagi setiap soalan bagi mendapatkan 1 markah. Jika jawapan kurang tepat, maka soalan tersebut tiada markah walaupun anda telah menunjukkan langkah pengiraan yang betul.




Soalan 2 markah

Soalan yang dikemukakan perlu dijawab dengan menyertakan atau memberikan langkah pengiraan sebelum menytakan jawapan tepat. Untuk mendapatkan markah penuh, anda perlu menyatakan cara mendapatkan jawapan yang boleh diterima.

Soalan 2 markah yang dikemukakan lebih kepada soalan aras pemahaman konsep matematik yang meliputi tajuk atau kemahiran seperti berikut:

1. Pecahan
- Operasi tolak atau tambah
- Dengan kuantiti / bilangan
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

2. Perpuluhan
- Operasi yang empat
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

3. Peratus
- Cari peratus daripada kuantiti
- Mencari kuantiti daripada peratus
- Ada rajah / gambar rajah pecahan

4. Ruang
- Menamakan ruang dan bongkah
- Melukis rajah dan bentuk
- Menentukan perimeter rajah

5. Wang
- Sebutan dalam RM atau Sen
- Nilai barangan / jumlah wang

6. Sukatan
- Melibatkan berat, panjang dan isipadu cecair
- Menukar sebutan
- Nilai dalam pecahan / perpuluhan
- Menjumlah dan membeza nilai

7. Purata
- Menjumlah sehingga 5 nilai
- Melibatkan sukatan / kuantiti

8. Masa dan Waktu
- Sebutan jam am / pm dan sisten 24 jam
- Kalendar
- Ada rajah / gambar rajah

9. Operasi Bercampur
- 2 daripada 4 operasi
- Gunakan cara "bodmas"



Soalan 3 markah 

Soalan 3 markah pula lebih tertumpu kepada langkah menentukan jawapan sesuatu soalan. Anda perlu menunjukkan langkah pengiraan sekurang-kurangnya 2 langkah sebelum memberikan jawapan yang betul. Langkah pengiraan dinilai daripada aspek boleh memberikan jawapan dengan wajar.

Soalan 3 markah lebih kepada aplikasi konsep matematik yang meliputi tajuk atau kemahiran seperti berikut :
1. Sukatan dan tempoh masa
2. Wang, untung rugi, kiraan bil, jual beli
3. Ruang dan bentuk, perimeter atau luas
4. Purata sehingga 5 nilai / kumpulan
5. Unit metrik - pengiraan sukatan berat, panjang dan isipadu




Panduan Menjawab Soalan Kertas 2

1. Pastikan tajuk atau kemahiran yang banyak disoal dalam peperiksaan telah dikuasai dengan baik.
2. Kerap membuat latihan berkaitan tajuk-tajuk tersebut.
3. Pastikan setiap soalan diberikan langkah pengiraan yang tepat sebelum memberikan jawapan.
4. Buat latihan berkumpulan, bertukar pandangan berkaitan langkah menjawab soalan.
5. Buat ujian dengan tetapkan masa menjawab - setiap minggu atau 2 minggu sekali.


Selamat Berjaya...

Cemerlang Matematik - Penyelesaian Masalah

Assalamualaikum & salam sejahtera…
Semakin tinggi kita belajar matematik, semakin sukar masalah yang bakal kita tempuhi. Jika waktu di sekolah rendah, dengan hanya satu langkah sahaja kita sudah mampu menyelesaikan masalah matematik yang diberikan tetapi jika di universiti mungkin kita perlu menghabiskan 2 helai kertas A4 untuk mendapat penyelesaian seseuatu masalah. Fonomena ini adalah biasa bak kata Uncle Ben ” with great power comes great responsibility“. Macam tak ada kaitan sahaja kata-kata Pakcik Spider-Man ni dengan penulisan saya :)
Baiklah, sebelum kita menyelesaikan masalah matematik, mari kita kenali jenis-jenis masalah dalam matematik yang sering kita temui dalam peperiksaan.
1.         Masalah yang menguji daya ingatan (Penyelesaiannya ialah latih-tubi)
2.         Masalah yang menguji kemahiran (latih-tubi)
3.         Masalah yang berkaitan penggunaan kemahiran matematik dalam kehidupan harian.
4.         Masalah yang berkaitan penggunaan kemahiran matematik bukan dalam kehidupan harian.
5.         Masalah yang memerlukan anda menggunakan teori tertentu untuk menyelesaikanya.
Masalah 1,2 dan 3 adalah masalah yang biasa kita temui. Jalan penyelesaianya juga adalah tidak panjang. Tetapi untuk masalah 4 dan 5 jalan penyelesaiannya adalah panjang dan kadangkala kita memerlukan pelbagai kemahiran matematik untuk menyelesaikanya.
Melakukan kerja rumah adalah satu langkah yang baik untuk membantu memahirkan diri dalam menyelesaikan masalah matematik. Jika anda membuat kerja rumah berkaitan dengan masalah di atas, anda dinasihatkan melakukan jalan kerja dengan sepenuhnya.
Kekerapan melakukan latihan seperti kerja rumah akan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.
Tip-tip menyelesaikan masalah matematik.
Aplikasi 4 langkah PĂ“lya’s;
1.         Fahami masalah : Baca keseluruhan soalan dan kenalpasti masalah yang dikemukakan.
2.         Rancang penyelesaian masalah anda. Kenalpasti kaedah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang diberi.
3.         Selesaikan masalah seperti yang dirancang.
4.         Lihat kembali adakah penyelesaian yang anda perolehi adalah munasabah. Dengan menggunakan kaedah yang sama, cuba selesaikan soalan yang lebih mudah yang anda pasti jawapanya.
Sesetengah masalah memerlukan anda menggunakan pelbagai strategi. Ada yang memerlukan kita melukis gambar, melakar gambarajah, membina jadual, membina senarai, memcipta formula, mengulang-ngulang jalan kerja dan sebagainya.
Tip menyelesaikan masalah soalan berbentuk tulisan (word problem)
Apabila melihat soalan yang panjang dihuraikan, murid biasanya akan meninggalkan soalan tersebut. Ini kerana ramai yang beranggapan yang soalan sebegini sukar.
Sekarang mari kita lihat bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah ini.
1.         Mula-mula kita perlu membaca keseluruhan soalan. Kenalpasti masalah yang diutarakan. Lukis gambarajah jika perlu. Ubah soalan tadi ke dalam bentuk ayat matematik.
2.         Selesaikan masalah matematik yang telah anda bentuk tadi.
3.         Tulis kembali jawapanya dalam bentuk ayat.
Sekian sahaja..
Wassalam

Cemerlang Bukan Hanya Dapat A

Sumber: Forum Utusan Malaysia |4 Disember 2009|
SAYA tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Profesor Rosnani Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan isu pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibandingkan antara pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang berlaku sekarang.

Juga cadangan menghantar guru Melayu dari SK untuk ‘belajar’ daripada guru Cina dari SJKC kaedah mengajar Matematik dan Sains yang dikatakan lebih baik.

Keputusan UPSR baru-baru ini perlulah dianalisis secara lebih mendalam, bukan sahaja ke atas angka-angka yang terbit daripadanya, tetapi juga perlu dilihat dari aspek falsafah dan hasil yang ingin dicapai.
Perlu ditekankan, hari ini pelajar diasak dengan tekanan berapa banyak A diperoleh daripada peperiksaan. Pelajar yang mendapat lebih banyak A dianggap lebih cerdik, bergeliga dan menjadi kebanggaan. Sebaliknya mereka yang mendapat kurang A dianggap tidak baik dan dipandang rendah.

Benar, sepintas lalu mereka yang mendapat lebih banyak A adalah lebih baik berbanding yang mendapat kurang A. Tetapi apakah itu matlamat akhir kurikulum pendidikan kita dan bertepatan dengan Dasar Pendidikan Nasional?
Perlulah diinsafi, dengan cabaran globalisasi dunia hari ini, pelajar bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kepandaian intelektual (melalui A dalam peperiksaan) tetapi juga seimbang dengan kemahiran insaniah yang meliputi aspek kemanusiaan lain.

Antaranya seperti kerjasama, toleransi, semangat setiakawan, kekitaan, hormat kepada orang lebih tua dan pemberi ilmu. Apabila berjaya kelak, mereka akan menjadi warga yang cintakan negara, tidak mengkhianati bangsa dan bersama-sama membantu membangunkan negara. Namun elemen itu dilihat semakin kurang ditekankan demi mengejar bilangan A dalam peperiksaan.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh Prof. Rosnani, generasi yang bagaimana ingin dilahirkan oleh kerajaan. Adakah generasi bijaksana (berdasarkan kecemerlangan peperiksaan) tetapi gagal menjadi insan syumul? Ataupun generasi yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik malahan sempurna nilai insaniah mereka? Konsep keseimbangan ini amat perlu direnung kerana kita tidak mahu melahirkan generasi robotik yang mementingkan diri sendiri sahaja kerana negara akan rugi kemudian hari.

Kurikulum pendidikan di SJKC memang menitikberatkan latih tubi dan banyak masa diperuntukkan untuk itu. Sebagai korban, masa untuk pengajaran Bahasa Malaysia, Pengetahuan Sivik dan Tatasusila serta Sejarah dikurangkan.

Selain itu, jika dilihat secara umum taburan SK dan SJKC, kebanyakan SK terletak bukan di kawasan bandar (kerana demografi masyarakat Melayu adalah di kawasan kampung) berbanding SJKC yang banyak bertaburan di kawasan bandar. Dari situ, perbezaan demografi dan infrastruktur telah jelas menyebelahi SJKC.
Pola perbezaan ini menyumbang kepada keberkesanan pelajaran. Hasilnya, lahirlah sepasukan pelajar baru masuk ke universiti yang tidak pandai untuk berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan (malah dalam bahasa Inggeris juga), tidak pandai bergaul dengan rakan sekuliah (melainkan rakan sebangsa sendiri sahaja) dan tidak menghormati pensyarah.

Mereka juga didapati kurang kemahiran berfikir dengan kritis apabila timbul persoalan yang memerlukan jawapan berdasarkan idea dan intelektual pelajar. Sebaliknya, apabila disoal dengan soalan langsung daripada buku, mereka dapat menjawab dengan cemerlang. Dari situ, dapat disimpulkan pelajar kita hari ini adalah ibarat sepan, hanya menyerap ilmu yang diberi sahaja dan mengeluarkannya kembali dalam dewan peperiksaan tetapi gagal mengembangkan idea daripada asas ilmu yang diberikan.

Cadangan daripada Prof. Rohani agar gagasan dan idea baru yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan dengan pendidikan perlulah dirujuk kepada pakar, ada benarnya. Ini kerana merekalah kelompok cerdik pandai yang tahu dengan lengkap ruang lingkup dan cara bagaimana ingin mencanai pelajar agar menjadi bukan sahaja generasi berilmu, tetapi yang lebih penting berakhlak, beragama dan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Dan menghantar guru dari SK yang rata-ratanya guru Melayu ke SJKC yang rata-ratanya bukan Melayu bukan sahaja tidak perlu malah ia difikirkan tidak menyelesaikan masalah sebenarnya