Sumber: Forum Utusan Malaysia |4 Disember 2009|
SAYA tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Profesor Rosnani
Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan isu
pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibandingkan antara
pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
yang berlaku sekarang.
Juga cadangan menghantar guru Melayu dari SK untuk ‘belajar’ daripada
guru Cina dari SJKC kaedah mengajar Matematik dan Sains yang dikatakan lebih
baik.
Keputusan UPSR baru-baru ini perlulah dianalisis secara lebih mendalam,
bukan sahaja ke atas angka-angka yang terbit daripadanya, tetapi juga perlu
dilihat dari aspek falsafah dan hasil yang ingin dicapai.
Perlu ditekankan, hari ini pelajar
diasak dengan tekanan berapa banyak A diperoleh daripada peperiksaan. Pelajar
yang mendapat lebih banyak A dianggap lebih cerdik, bergeliga dan menjadi
kebanggaan. Sebaliknya mereka yang mendapat kurang A dianggap tidak baik dan
dipandang rendah.
Benar, sepintas lalu mereka yang mendapat lebih banyak A adalah lebih
baik berbanding yang mendapat kurang A. Tetapi apakah itu matlamat akhir
kurikulum pendidikan kita dan bertepatan dengan Dasar Pendidikan Nasional?
Perlulah diinsafi, dengan cabaran globalisasi dunia hari ini, pelajar
bukan sahaja perlu dilengkapkan dengan kepandaian intelektual (melalui A dalam
peperiksaan) tetapi juga seimbang dengan kemahiran insaniah yang meliputi aspek
kemanusiaan lain.
Antaranya seperti kerjasama, toleransi, semangat setiakawan, kekitaan,
hormat kepada orang lebih tua dan pemberi ilmu. Apabila berjaya kelak, mereka
akan menjadi warga yang cintakan negara, tidak mengkhianati bangsa dan
bersama-sama membantu membangunkan negara. Namun elemen itu dilihat semakin
kurang ditekankan demi mengejar bilangan A dalam peperiksaan.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh Prof. Rosnani, generasi
yang bagaimana ingin dilahirkan oleh kerajaan. Adakah generasi bijaksana
(berdasarkan kecemerlangan peperiksaan) tetapi gagal menjadi insan syumul?
Ataupun generasi yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik malahan
sempurna nilai insaniah mereka? Konsep keseimbangan ini amat perlu direnung
kerana kita tidak mahu melahirkan generasi robotik yang mementingkan diri
sendiri sahaja kerana negara akan rugi kemudian hari.
Kurikulum pendidikan di SJKC memang menitikberatkan latih tubi dan
banyak masa diperuntukkan untuk itu. Sebagai korban, masa untuk pengajaran
Bahasa Malaysia, Pengetahuan Sivik dan Tatasusila serta Sejarah dikurangkan.
Selain itu, jika dilihat secara umum taburan SK dan SJKC, kebanyakan SK
terletak bukan di kawasan bandar (kerana demografi masyarakat Melayu adalah di
kawasan kampung) berbanding SJKC yang banyak bertaburan di kawasan bandar. Dari
situ, perbezaan demografi dan infrastruktur telah jelas menyebelahi SJKC.
Pola perbezaan ini menyumbang kepada keberkesanan pelajaran. Hasilnya,
lahirlah sepasukan pelajar baru masuk ke universiti yang tidak pandai untuk
berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan (malah dalam bahasa Inggeris
juga), tidak pandai bergaul dengan rakan sekuliah (melainkan rakan sebangsa
sendiri sahaja) dan tidak menghormati pensyarah.
Mereka juga didapati kurang kemahiran berfikir dengan kritis apabila
timbul persoalan yang memerlukan jawapan berdasarkan idea dan intelektual
pelajar. Sebaliknya, apabila disoal dengan soalan langsung daripada buku,
mereka dapat menjawab dengan cemerlang. Dari situ, dapat disimpulkan pelajar
kita hari ini adalah ibarat sepan, hanya menyerap ilmu yang diberi sahaja dan
mengeluarkannya kembali dalam dewan peperiksaan tetapi gagal mengembangkan idea
daripada asas ilmu yang diberikan.
Cadangan daripada Prof. Rohani agar gagasan dan idea baru yang ingin
dilaksanakan oleh kerajaan berkaitan dengan pendidikan perlulah dirujuk kepada
pakar, ada benarnya. Ini kerana merekalah kelompok cerdik pandai yang tahu
dengan lengkap ruang lingkup dan cara bagaimana ingin mencanai pelajar agar
menjadi bukan sahaja generasi berilmu, tetapi yang lebih penting berakhlak,
beragama dan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Dan menghantar guru dari
SK yang rata-ratanya guru Melayu ke SJKC yang rata-ratanya bukan Melayu bukan
sahaja tidak perlu malah ia difikirkan tidak menyelesaikan masalah sebenarnya
No comments:
Post a Comment